Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 25 Jun. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Ketua Turus Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral Ukris Boontanondha, hari ini.
Menyertai Tuan Yang Terutama Jeneral Ukris Boontanondha pada Majlis Mengadap yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Akrapong Chalermnon dan pegawai-pegawai kanan dari Angkatan Bersenjata Diraja Thailand.
Negara Brunei Darussalam dan Kerajaan Thailand telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1 Januari 1984. Hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua buah negara turut dizahirkan semasa Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-Rusia Ke-35 di Kazan, Persekutuan Rusia baru-baru ini di mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul.
Dalam bidang pertahanan dan ketenteraan, hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara terus diperkukuhkan lagi melalui pelbagai aktiviti pertahanan dan ketenteraan yang merangkumi kursus, pertukaran lawatan, mesyuarat dan eksesais serta melalui platform pelbagai hala khususnya di bawah rangka Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).